Tuan-tuan dan puan-puan dah habis bayar baki hutang pembiayaan dengan LPPSA? Geran asal pun dah dapat?
Hah, cuba semak geran sekarang sama ada proses Melepaskan Gadaian sudah dilakukan atau belum? Kalau di atas geran masih ada perkataan "Gadaian menjamin wang pokok" maksudnya proses Melepaskan Gadaian belum disempurnakan.
Jadi, apa yang perlu dibuat selepas menyelesaikan baki hutang pembiayaan?
Kebiasaannya, selepas tuan-tuan dan puan-puan telah selesaikan baki hutang pembiayaan, pihak LPPSA akan hantarkan geran asal bersama-sama dengan dokumen lain termasuklah Borang 16N (Melepaskan Gadaian). Borang 16N inilah yang perlu didaftarkan di Pejabat Tanah tertentu bagi mengeluarkan nama LPPSA daripada atas geran. Apa yang perlu anda buat selepas pihak LPPSA serahkan dokumen yang tersebut di atas kepada anda?
1. PENYETEMAN BORANG 16N
Langkah pertama adalah anda perlu membawa Borang 16N (Melepaskan Gadaian) yang telah lengkap diisi dan ditandatangani oleh wakil kuasa LPPSA ke cawangan LHDN bagi tujuan adjudikasi atau istilah yang sering digunapakai ialah mati setem.
2. BAWA GERAN ASAL DAN DOKUMEN BERKAITAN UNTUK PENDAFTARAN DI PEJABAT TANAH
Berikut merupakan dokumen yang perlu dibawa bagi tujuan pendaftaran Melepaskan Gadaian di Pejabat Tanah:
- Borang 16N yang telah disetemkan
- Geran asal
- Pendua Borang 16A
- Salinan kad pengenalan tuanpunya
- Cukai Tanah/Cukai Pintu
Sila ambil maklum bahawa pendaftaran di Pejabat Tanah juga melibatkan kos dan anda perlu meneliti sendiri berapakah kadar bayaran di Pejabat Tanah oleh kerana perbezaan harga di setiap negeri.
3. PENDAFTARAN BERJAYA = GERAN BAHARU
Setelah pendaftaran disempurnakan, anda sudah boleh bersantai dan tunggu geran baharu dikeluarkan oleh Pejabat Tanah.
"Apa bezanya geran baharu dan geran sebelum ini? Kedua-duanya ada nama saya."
JAWAPAN: Ya, benar. Geran sebelum proses Melepaskan Gadaian disempurnakan juga mempunyai nama anda. Tetapi proses Melepaskan Gadaian diperlukan bagi membolehkan anda memindahmilik Hartanah berkenaan sama ada melalui jual beli atau kasih sayang.
Semoga bermanfaat, sebarang teguran terhadap apa-apa kesilapan dalam penulisan saya amat dihargai.
PENTING: Bagi anda yang membuat pembiayaan dengan pihak Bank, sila ambil maklum bahawa anda perlu melantik peguam bagi urusan Melepaskan Gadaian oleh kerana Bank tidak akan menyediakan Borang 16N dan mengembalikan geran asal secara terus kepada anda. Hanya LPPSA yang mengembalikan geran asal berserta lain-lain dokumen kepada peminjam. Maka, kebiasaannya Bank akan rujuk kes anda kepada peguam panel mereka atau anda perlu melantik peguam sendiri bagi urusan Melepaskan Gadaian.
Sudah lama selesaikan baki hutang pembiayaan tetapi masih belum menuntut geran asal dan dokumen lain dari pihak Bank/LPPSA?
Ataupun, geran asal dan dokumen berkenaan telah lama dikembalikan anda tapi masih terdapat gadaian kepada LPPSA/Bank? Tak nak pening kepala fikir cara untuk berurusan dengan Bank/LPPSA?
Jom hubungi kami untuk dapatkan peguam sebagai pemudahcara.