KOS AWAL PEMBELI YANG WAJIB AMBIL TAHU!
KOS AWAL PEMBELI YANG WAJIB AMBIL TAHU!
Anda berminat untuk membeli Hartanah sama ada tanah atau rumah termasuklah rumah subsale? Baru kali pertama berurusan dalam Jual Beli Hartanah? Perkongsian kami kali ini memang khas untuk anda!
Antara perkara yang sering menjadi kesilapan mereka yang pertama kali ingin membeli Hartanah tidak kiralah rumah atau tanah ialah mereka terlupa untuk mengambil kira kos yang ada selain daripada harga Jual Beli itu sendiri.
Bila dah mulakan proses permohonan pembiayaan dengan Bank atau mana-mana Institusi Kewangan dan dah dapatkan peguam terus terkejut sebab dalam sangkaan jumlah Jual Beli itu dah cukup besar untuk bajet, eh tiba-tiba ada kos lain pula! Tak pasal-pasal nak kena korek duit di merata tempat nanti.
1. WANG DEPOSIT / BOOKING FEE
Booking fee ialah jumlah yang dibayar oleh Pembeli kepada Penjual atau ejen Hartanah sebagai tanda Pembeli 'mengikat' atau 'cop' Hartanah yang berkenaan. Dan bayaran booking fee akan diiringi dengan Letter of Intent to Sell & Purchase Property atau booking form yang disediakan oleh agensi Hartanah atau peguam. Bayaran booking fee kebiasaannya dipegang oleh peguam Jual Beli atau agensi sebagai pemegang amanah. Kebanyakannya, jumlah bayaran booking fee ialah sekitar RM500 hingga RM5K, bergantung kepada ejen (pembelian melalui Agensi Hartanah) atau Penjual itu sendiri (pembelian terus dari tuan punya).
Wang deposit pula ialah sebahagian daripada harga Jual Beli yang dibayar sebagai tanda bahawa pembeli serius untuk membeli Hartanah berkenaan. Kebiasaannya, wang deposit dibayar sebanyak 10% daripada keseluruhan harga Jual Beli di mana pembayaran dibuat selepas kedua-dua pihak iaitu Penjual dan Pembeli menandatangani Perjanjian Jual Beli yang disaksikan oleh peguam. Wang deposit ini akan dimasukkan ke dalam akaun firma guaman untuk dipegang oleh peguam sebagai stakeholders atau pemegang amanah dan akan diserahkan oleh peguam sewaktu tiba masanya untuk menyerahkan keseluruhan duit Jual Beli kepada Penjual.
2. YURAN PERKHIDMATAN JURUNILAI
Kenapa pula tiba-tiba ada Yuran Perkhidmatan Jurunilai ini? Hah, untuk makluman tuan-tuan, laporan penilaian merupakan salah satu dokumen yang diperlukan oleh pihak Institusi Kewangan (LPPSA/ Bank) untuk meluluskan permohonan pembiayaan. Bagi pembiayaan Bank, jumlah yuran perkhidmatan jurunilai kebiasaannya akan dimasukkan ke dalam Letter of Offer atau Surat Tawaran Pembiayaan.
Manakala, bagi pembelian Hartanah melalui pembiayaan LPPSA, tiada sebarang yuran perkhidmatan jurunilai yang perlu dibayar kerana penilaian Hartanah akan diuruskan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di mana ianya adalah percuma.
3. YURAN GUAMAN
Urusan Jual Beli Hartanah akan melibatkan dua jenis proses penyediaan dan pelaksanaan iaitu Perjanjian Jual Beli dan Dokumentasi Pembiayaan. Secara tak langsung, ini bermaksud pembeli yang menggunakan pembiayaan Bank atau LPPSA perlu menanggung dua jenis yuran guaman yang berbeza iaitu yuran guaman Dokumentasi Jual Beli dan Dokumentasi Pembiayaan.
Peguam akan menyediakan yuran guaman mengikut Perintah Saraan Peguamcara 2023 atau Solicitor's Remuneration Order 2023 (SRO) di mana setiap caj atau yuran guaman yang dikenakan oleh peguam adalah berdasarkan pekeliling dan bukanlah secara membuta tuli.
Apa yang menariknya, bagi pemohon pembiayaan LPPSA, yuran guaman bagi Dokumentasi Pembiayaan boleh dimasukkan ke dalam pembiayaan LPPSA. Maksudnya, anda hanya perlu membayar yuran guaman Dokumentasi Jual Beli menggunakan duit poket anda.
4. DUTI SETEM
Duti setem ialah cukai yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas Memorandum Pindahmilik (Borang 14A) dan Dokumentasi Pembiayaan. Tapi tahu tak, terdapat dua jenis pengecualian yang kami nak kongsikan di penulisan ini:-
P.U.(A) 40/2017 iaitu pengecualian duti setem bagi Dokumentasi Pembiayaan LPPSA
P.U.(A) 53/2021 iaitu pengecualian duti setem bagi pembelian rumah kali pertama di bawah harga RM500K.
Sekiranya anda sudah menjumpai rumah atau tanah pilihan tapi masih belum uruskan permohonan pembiayaan perumahan atau masih mencari peguam, anda amat dialu-alukan untuk menghubungi kami. Kami akan membantu anda bermula daripada proses awal permohonan pembiayaan sehinggalah tamat urusan Jual Beli Hartanah.